Sihir adalah amalan ghaib dengan menggunakan khidmat jin untuk tujuan tertentu. Ia ditujukan kepada mangsa (secara tersembunyi) untuk menyakitkan tubuh, mempengaruh hati / akal fikiran dan memudaratkan kehidupan seharian. Untuk tujuan silap mata pula, pengamal sihir “magician” akan menggunakan khidmat jin / syaitan untuk mengelirukan penonton.
Sihir (ilmu hitam) adalah perjanjian (pakatan) diantara jin dan pengamal sihir (misalnya bomoh, dukun). Dalam perjanjian ini, si pengamal sihir akan mentaati setiap pemintaan jin (syaitan) dengan cara “ritual” seperti membakar kemenyan, menghidangkan darah / bangkai binatang, membakar / memijak Al-Quran, selalu berada dalam keadaan junub dan lain lain perbuatan syirik.
Dalam sesi “ritual” / perubatan sihir, pengamal sihir sering melakukan tindakan yang pelik-pelik:
-Seperti menjampi perkataan-perkataan yang tidak diketahui maknanya.
-Menurun semasa sesi “ritual” (Pengamal sihir tidak sedar diri).
-Menggunakan dan memberi tangkal (seperti gelang, cincin, keris, batu) sebagai pendinding.
-Meminta makanan seperti pulut kuning, ayam, kemenyam, beras, rokok sebagai “pengeras”.
Pengamal sihir mengirimkan jin yang diberikan tugasnya untuk mengganggu mangsa pada waktu tidur dan jaga, kemudian jin itu menampakkan dalam diri dalam tidur berupa berbagai-bagai haiwan buas yang mengancamnya atau memanggilnya. Ketika jaga, mangsa mendengar suara seseorang yang dikenalinya atau mangsa mendengar suara-suara aneh.
Ilmu sihir juga dikenali sebagai "black magic, voodoo atau sorcery". Di dalam media barat (West) terutamanya yang ditujukan kepada kanak-kanak, ahli sihir sering digambarkan sebagai wanita tua yang jahat dengan kulit yang berkedut dan topi berbucu tajam, berbaju hitam atau ungu, dengan hidung yang berketuat and kadang-kadang kuku yang panjang. Ahli sihir selalunya menaiki penyapu terbang seperti dalam cerita Harry Potter. Pada zaman moden ini, teknik dan kaedah ilmu sihir diubahsuai secara kreatif menerusi alat teknologi (lelaman internet, handphone).
Di dalam Al-Quran terdapat banyak kisah mengenai sihir pada zaman nabi-nabi terdahulu. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 102, maksudnya “… mereka membelakangkan kitab Allah dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibaca oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, pada hal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir dengan amalan sihirnya; kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir”.
Sihir juga telah berleluasa sejak dari zaman Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s dikurniakan mukjizat untuk berlawan dengan tukang-tukang sihir semasa zaman baginda, yang pada masa itu adalah pemimpin dan ketua-ketua kaum, sebagaimana dikisahkan dalam Surah Taha, Ayat 63-69.
Jenis Jenis sihir & Kesannya ke atas mangsa:
Sihir Memukau / Sihir Hipnotis: Memukau atau Hipnotis membuat manusia tidak sedar dan keliru dengan apa yang berlaku. Misalnya:
-Manusia melihat benda yang diam seolah-olah bergerak atau sebaliknya.
-Benda yang kecil dilihat menjadi besar atau sebaliknya.
-Semasa pertunjukan “magic”, kain atau api berubah menjadi burung.
-Untuk Hipnotis pula, mangsa akan menjadi bingung, tidak boleh bercakap dan menuruti permintaan si pengamal walaupun tidak dengan kerelaan hati.
-Mangsa berjalan menuju ke suatu tempat dalam keadaan tidak sedar atau ketika tidur.
Sihir memukau / hipnotis boleh berlaku ke atas mangsa melalui:
-Hembusan nafas / asap rokok.
-Tenungan mata.
-Perbualan / jampi dari penghantar.
-Minuman yang dijampi.
-Handphone (percakapan dan sms).
-Membuang najis dan membuang pakaian buruk di hadapan rumah mangsa.
Sihir Pemisah: Suami dan isteri yang tiba-tiba sahaja merasa tidak aman, benci-membenci antara satu dengan lain walaupun sebelumnya mereka sangat berkasih-sayang. Suami melihat isterinya berwajah hodoh dan sebaliknya.
Contohnya dalam sihir pemisah untuk suami isteri, jin-jin akan berada di dalam tubuh pasangan suami isteri hinggalah tercapai matlamat si penyihir itu untuk memisah pasangan itu. Jin-jin boleh berada di dalam tubuh mangsa bertahun-tahun lamanya, beranak pinak dalam tubuh manusia dan bilangan mereka boleh mencapai puluhan dan ratusan. Matlamat jin dan pengamal sihir akan tercapai sekiranya suami isteri berkenaan bercerai.
Sihir Tundukkan Pasangan: Amalan ini digunakan untuk menundukkan orang lain seperti nasi tangas untuk menundukkan suami. Adakalanya seorang isteri mengenakan sihir “tundukkan pasangan” supaya suaminya hanya sayang kepadanya sehingga menyebabkan suami membenci ibu, saudara mara perempuan dan semua wanita yang ada hubungan kekeluargaan.
Sihir Pengasih (Pemikat): Sihir pengasih boleh berlaku sekiranya si mangsa terkena minyak yang dijampi tukang sihir (seperti minyak pengasih / minyak dagu). Ianya akan buat mangsa:
-Berubah secara spontan dari benci kepada suka pada si penghantar.
-Asmara cinta yang keterlaluan terhadap dan cenderung melakukan hubungan seksual.
-Rindu bayang yang berlebihan.
-Patuh secara membuta tuli tanpa dapat dikawal.
-Mimpi bersetubuh dengan orang yang menyihirnya.
Sihir Tuju-Tuju: Tukang sihir menghantar tuju-tuju bagi menguji ilmu kebatinan orang lain. Misalnya, tuju-tuju dihantar sebagai tanda tidak senang kepada orang asing yang baru masuk ke kawasan kampung. Tuju-tuju biasanya dihantar pada waktu malam sekitar pukul 12 tengah malam. Ini adalah waktu yang sesuai kerana ia adalah waktu tidur dan orang yang dikenakan itu mungkin sudah tidur dan tidak berwaspada.Tuju-tuju terbang sekadar ketinggian pokok kelapa dalam keadaan mendatar.Ia kadangkala bergerak seperti bebola api yang mengeluarkan cahaya. Mengikut persumpahan ilmu ini, tuju-tuju akan jatuh dan misi tuju-tuju itu gagal sekiranya ada orang yang terlihat ketika ia sedang terbang.
Sama ada tuju-tuju itu berhasil ataupun tidak, ianya bergantung kepada izin Allah s.w.t dan takdir ketentuanNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan